Penerbit Animasi Malaysia Lebar Sayap ke Jepun

alt
TOKYO, 29 Ogos - Animonsta Studios Sdn Bhd, penerbit siri animasi BoBoiBoy akan menjalin usaha sama dengan pembuat barang mainan terkemuka Jepun, Tomy Company Ltd bagi menerbitkan siri animasi berdasarkan watak kenderaan mainan keluaran syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan Animonsta Nizam Razak berkata syarikatnya akan menghasilkan jalan cerita dan menerbitkan siri berkenaan manakala Tomy menghasilkan rangkaian produk kenderaan mainan tersebut.

Selain itu, Animosta juga sedang berbincang dengan Tomy bagi menghasilkan rangkaian produk berdasarkan watak siri animasi baharu terbitannya, Galaksi BoBoiBoy, yang merupakan penjenamaan semula BoBoiBoy.

"Siri baharu itu akan memfokus kepada tema pengembaraan dan diterbitkan sebanyak 104 episod," kata Nizam selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Tomy yang diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Kantaro Tomiyama di sini.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di ibu pejabat Tomy di sini ialah Naib Presiden, Multimedia Kreatif, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Kamil Othman serta Pengurus Kanan MDeC, Azmir Saifuddin Mutalib.

Bercakap kepada Bernama, Tomiyama berkata walaupun syarikatnya merupakan pengeluar barang mainan terbesar di Jepun, beliau sanggup melabur untuk menjayakan projek tersebut kerana tertarik melihat hasil kreatif karyawan muda dalam Animonsta.

"Saya harap gabungan tenaga muda Animonsta dan kepakaran Tomy dalam bidang pembuatan barang mainan akan dapat meningkatkan mutu industri kreatif kedua-dua negara melalui penghasilan kandungan kreatif yang menyemai nilai murni melalui watak-watak ciptaan kami," katanya lagi.

Tomy yang bermula sebagai pembuat kapal terbang mainan dengan nama Tomiyama Toy Seisakusho, diasaskan oleh Eiichiro Tomiyama pada 1924.

Pada tahun 1953 ia didaftarkan sebagai sebuah syarikat pembuat barang mainan berprofil tinggi seperti Transformers, Tomica, Pokemon dan Chuggington. Produk syarikat itu dipasarkan di seluruh dunia dan 10 negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan China.
 
alt

Animonsta Studios pula merupakan penyedia kandungan kreatif dan animasi berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC).

Produk pertama syarikat tersebut, BoBoiBoy kini dipasarkan di 44 negara Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Versi filem BoBoiBoy The Movie pula dijangka berada di pasaran pada suku ketiga tahun depan.

 Via: http://rakyatnews.my/index.php/headlines/bisnes/item/225162-penerbit-animasi-malaysia-lebar-sayap-ke-jepun
Penerbit Animasi Malaysia Lebar Sayap ke Jepun Penerbit Animasi Malaysia Lebar Sayap ke Jepun Reviewed by Asukikun99 on 5:21 PTG Rating: 5

Tiada ulasan: